Mee Rebus Johor

Salam dan Hai kepada semua!

Tentunya semua fans & pengunjung RE sedang sibuk membuat perancangan untuk pergi ke Rumah Terbuka Raya sempena cuti Hari Malaysia esok. Maklumla cuti panjang katakan. Oleh kerana Resipi Emak berasal di Johor Bahru, jadi kali ini saya ingin berkongsikan resipi masakan tradisional terkenal dari negeri Johor Darul Takzim. Masakan ini merupakan menu yang agak popular juga di musim Rumah Terbuka Aidilfitri. Saya sendiri dah 2 kali menjamu tetamu dengan Mee Rebus Johor pada bulan Syawal kali ini. Kepada fans dan pengunjung RE yang sedang merancang untuk mengadakan Rumah Terbuka Raya tu, boleh la mencuba resipi Mee Rebus Johor ini ya!

 Mee Rebus Johor

Bahan-bahan Utama:
1kg Mee Kuning (dicelur 3-4 minit)
200gm taugeh (dicelur)
Daun sup (dicincang)
Bawang merah (dicincang)
5 biji cili merah (dihiris)
5 biji cili hijau (dihiris)
5 biji limau kasturi (dibelah dua)
2 keping tauhu (digoreng sedikit & dihiris)
5 biji telur (direbus & dibelah empat)
Bawang goreng

Pendaram Mee Rebus:
3 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung beras
½ sudu besar udang kering/geragau (direndam dalam air selama 10 minit, kemudian diperah & ditumbuk lumat)
Garam secukup rasa

Kuah Mee Rebus:
250gm udang
4 sudu besar taucu
1 cawan kacang tanah
400gm keledek

Bahan kisar untuk pes:
100gm udang kering (direndam dalam air selama 10minit)
2 batang serai
2 cm halia
2 sudu besar serbuk kulit kayu manis
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
10-15 tangkai cili kering (direndam dalam air suam)
7 biji bawang merah
4 ulas bawang putih

Cara
Penyediaan Kuah:
1. Panggang kacang tanah dan buang kulitnya. Kemudian kisar halus dan ketepikan.
2. Gunakan kulit udang untuk menghasilkan 2 cawan stok udang.
3. Rebus keledek. Kemudian tumbuk hingga lumat dan ketepikan.
4. Panaskan 4-5 sudu besar minyak masak. Tumiskan bahan kisar sehingga kering dan naik bau.
5. Kemudian masukkan stok udang, udang dan taucu. Biarkan sehingga mendidih.
6. Seterusnya tambahkan gula dan garam secukup rasa. (Sekiranya sukakan kuah yang lebih rasa manis, boleh tambahkan 2 sudu besar gula merah atau gula melaka)
7. Masukkan keledek dan kacang tanah untuk memekatkan lagi kuah. Biarkan sebentar di atas api sehingga kuah agak pekat mengikut citarasa yang dikehendaki.

Penyediaan Pendaram:
1. Campurkan semua bahan ke dalam mangkuk. Gunakan lebih kurang ¼ cawan air untuk menghasilkan adunan. Jangan sampai adunan terlalu cair.
2. Panaskan minyak masak. Tuangkan 1 sudu besar adunan di atas senduk dan ratakannya menggunakan jari. Kemudian masukkan senduk ke dalam minyak dan biarkan selama beberapa minit.
3. Setelah itu, perlahan-lahan asingkan pendaram dari senduk dengan menggunakan sudu. Kemudian
gorengkan sehingga bertukar warna keperangan dan rangup.
4. Setelah itu, angkat dan keringkan di atas tisu dapur.

Penyediaan Lain:
1. Rebus telur dan dibelah empat.
2. Celurkan mee dan taugeh selama beberapa minit.

Cara hidangan:

Isikan mee dan taugeh ke dalam mangkuk. Kemudian curahkan kuah. Pecah-pecahkan pendaram
dan taburkan di atas mee yang telah dituangkan kuah. Hiaskan dengan telur rebus, daun bawang, tauhu goreng, cili merah, cili hijau dan bawang goreng.

Nota: Sekiranya menggunakan daging, masukkan daging semasa memasukkan stok. Biarkan daging empuk sebelum memasukkan keledek dan kacang tanah. Sebaik-baiknya pendaram dihasilkan paling akhir sekali sebelum mee dihidangkan.

Selamat Mencuba!

Kongsikan dengan rakan anda!

4 thoughts on “Mee Rebus Johor

  1. kalo saya udang geragau direndam dan dikisai halud dan kasar pas tu masukkan dalam kuah.emmm mmg terangkat.

Komen dan maklum balas anda amat saya hargai.... :)